Kisah Panglima Awang
Published: 14 Mei 2004
Terdapat banyak sejarawan melayu yang menyatakan bahawa seorang melayu, yang
dikenali sebagai Panglima Awang, adalah orang pertama yang berjaya mengelilingi dunia. Betul ke cerita ni? Mari aku ulaskan
dengan lebih lanjut...
Kita semua tahu dari apa yang tercatat dalam buku2 sejarah, orang yang first
sekali keliling dunia ialah Ferdinand Magellan (bukan Luis Figo aa) ataupun dalam rekod tu tulis ekspedisi yang diketuai dia
berjaya mengelilingi dunia, sebab si Magellan sendiri yang terbunuh kat Cebu, Filifina dan hanya satu kapal dia yang bernama
Victoria (bukan Posh Spice) yang berjaya sampai balik kat Sepanyol pada tahun 1522.
Kita dulu pun belajar kat sekolah, orang Portugis yang bernama Lopez de Sequeira
(sedapnya nama, ala2 Enrique Iglesias) ialah antara orang putih pertama yang menjejakkan kaki ke Tanah Melaka pada 1509. Orang
gelar dia masa tu Benggali Putih (agaknya orang2 kampung pelik kot, hidung mancung ala2 benggali, tapi kulit putih melepak).
Agaknya tak tahan kena kutuk kot, telinga panas je, so member dia, Alfonso de Albuquerque (ade orang pronounce "Albukaki",
ada "albukerk") pun sampai dengan tentera laut Portugis nak tawan Melaka pada 1511. Acah mak enon, mane ade sebab kena kutuk,
sebab nak tawan pelabuhan melaka masa tu, yang dikenali sebagai Emporium Rempah (Adek manis mau bili apa, kari ada, rumpah
ada, summa ada). Rempah mase tu ditimbang beratnya sama macam emas. Kalau sekarang macam tu, kaya la Ameer Ali, takde le bankrap.
Tak banyak orang yang tahu bahawa Magellan ni terlibat dalam dua2 operasi tu.
Lepas Melaka jatuh ke tangan Portugis (jingkling nona, jingkling nona) , Magellan ni ambik la satu hamba keturunan Melayu
yang dia bagi nama "Enrique"(glamer mamat tu, name omputeh). Si Enrique ni la yang jadi penterjemah yang dipercayai Magellan
dan dibawanya balik ke Portugal.
Enrique ni merupakan salah seorang anak kapal Magellan dalam ekspedisi magellan
ke Pulau Rempah Maluku melalui jalan barat dari Sepanyol. Magellan berkhidmat untuk kerajaan Sepanyol setelah ditolak oleh
negaranya sendiri. Christopher Columbus pun dulu pernah terniat nak ikut jalan barat, tapi bila dah tiba kat tanah baru Amerika
yang dia jumpa, terus terpesong dah niat dia. Sama macam Columbus jugak, Magellan memandang rendah jarak yang diperlukan untuk
sampai ke timur melalui jalan barat. Jauh tu, kena rentas dua lautan, Anlantik dan Pasifik.
Tetapi dengan usaha gigih Magellan ni, beliau berjaya gak merentasi Atlantik,
pusing Cape of Horn dan merentasi Pasifik yang belum dikenali lagi pada masa tu, beliau berjaya gak mendarat kat Pulau Mactank
at Cebu, Filifina. Enrique ialah orang yang mula2 dapat tahu yang penduduk kat situ boleh faham bahasa dia bahasa Melayu,
dan dia fikir mestilah dia ni tak jauh daripada tanah kelahirannya.
Tapi Magellan ni pulak buat hal, dia gaduh dengan raja tempatan dan terjadilah perang antara mereka berdua. Sape menang? Mesti la raja tu ek, sebab awal2 aku dah cerita yang
Magellan tu mati kena bunuh kat sini. Ada yang kata Enrique pun mati gak, ada yang kata dia tolong orang kampung bunuh anak2
kapal yang tinggal, sebab mereka tak menepati janji, yang dia akan dibebaskan setelah Magellan mati. Banyak lak ending, Mane
satu ni,,pilih la yang mane sedap.
Tapi ramai orang yang percaya, yang Enrique ni berjaya menyelamatkan diri dan
balik ke Melaka, naik Air Asia. Eh tak ah, mana la aku tau dia balik camne. Kalau betul maka dialah orang pertama mengelilingi
dunia ni (Asal melaka- gi sepanyol-filifina -balik semula). Malangnya pak pandir, takde rekod nak pastikan benda ni. Pulak
tu Filifina pun ngaku yang Enrique tu orang Filifina, sebab dia boleh cakap bahasa diorang. Dalam Pigapetta punya catatan
(dia ni anak kapal Magellan jugak) menyatakan yang Enrique tu hamba Melaka yang berasal dari Sumatera. Jadi Indonesia, Malaysia
da Filifina semua ade bukti yang kukuh nak dakwa Enrique tu kebanggaan diorang.
Nama Panglima Awang tu hanya wujud setelah ianya dijadikan novel oleh Harun
Aminurrashid (aku rekemenkan bace buku ni, best, tapi aku baca separuh je, mase tu aku baru darjah berape ntah, tak larat
bace buku cerita pepanjang). Filifina pun ade gak cerita pasal dia dengan
nama lain. Seingat aku Tun Dr Mahathir pernah cerita pasal ni, tapi dia sebut sebagai "Henry the Black". Nama sebenar Enrique
ni (bailamosss) takde sape pun yang tahu dan mungkin tak akan diketahui...
Teladan dari kejatuhan Melaka
Artikel ni aku petik dari tulisan Datuk Adam A Kadir. artikel dia banyak berunsur politik , so
aku edit bagi sesuaikan dengan laman web ni. Artikel yang menarik untuk dibaca dan direnung bersama..
Masalah Melayu antaranya ialah yang ada kaitan dengan sejarah.Melayu tidak mempunyai sejarah
yang konkrit kerana ia selalu bercampur aduk dengan dongengan dan sikap berharap-harap. Sesiapa
yang lupa sejarah akan dilaknatkan dengan berulangnya sejarah, kata yang berwibawa.
Kita tidak tahu dengan jelas, apa yang berlaku di sekitar 1511 apabila Melaka jatuh ke tangan
Portugis. Orang yang disalahkan antara lain ialah Raja Mundaliar, kononnya tali barut Portugis. Yang diwirakan ialah `Panglima
Awang', menurut imaginasi pengarang Harun Aminurrashid. Mungkin kalau dipastikan dengan jelas kesilapan dan kelemahan Melayu
dan pemerintah Melayu ketika itu, ia boleh dijadikan teladan, dengan itu sejarah buruk itu tidak akan berulang.
Selepas penaklukan itu, Melayu bagaikan sudah padam di semenanjung ini. Timbul tak timbul ialah
apabila Belanda mencatat dalam rekodnya bagaimana ia merampas Melaka dari Portugis 130 tahun kemudian. Dua ratus tahun selepas itu pula, British pula mengambil alih. Sejak itulah Melayu menumpang sejarah bertulis yang
agak wajar.
Ahli-ahli sejarah kita pula, sudahlah kurang
atau tiada menulis buku, mereka lebih cenderung membidas orang lain yang menulis tentang sejarah Melayu. Kononnya, yang ini
tidak betul, yang itu terlalu eksentrik Eropah dan sebagainya. Kekurangan tradisi sejarah ini senang difahami. Pertama, Melayu
dulu ketiadaan sistem pendidikan massa. Oleh itu penglahiran penulis sejarah adalah sesuatu yang amat sukar. Kedua, akibat
dari ketiadaan itu, maka terdapat juga kekosongan khalayak pembaca. Akhirnya kedua-dua sebab ini hambat-menghambat dan hasilnya
wujud keadaan yang dipanggil padang pasir sejarah. Kering dan kemarau.
Untuk itu elok juga kalau kita dapat mengingatkan
semula kejatuhan Melayu di Melaka dalam tahun 1511. Sejak dulu lagi dunia ini diwarnakan oleh penjajahan. Amalan yang dianuti
adalah globalisasi juga. Portugis datang ke dunia sebelah sini bukan semata-mata hendak mencari keuntungan dari perniagaan
rempah, tetapi yang pentingnya mereka mengembangkan dasar menghancurkan Islam secara global dan digantikan dengan Kristian
Roman Katolik.
Latar belakangnya menunjukkan Turki merupakan
kuasa Islam yang sangat kuat dan telah menakluki sebahagian Eropah Timur, Semenanjung Balkan (di mana terletaknya Greece,
Romania, Albania dan Yugoslavia kini) dan sebahagian bumi Arab. Sepanyol, sebagai jiran dan pesaing terdekat Portugis, sudah
pun menjelajah dan menakluk beberapa tempat di Amerika Utara dan Selatan. Seorang
pemuda yang bernama Colon atau Columbus, menurut sebutan Inggeris, sudah pun menjumpai Amerika Utara. Segala itu dilakukan
berdasarkan serampang dua mata: menakluk dan mengembangkan Kristian mazhab Katolik.
Oleh itu Portugis mencari jalan lain ke dunia
luas. Untuk mengelakkan pertempuran dengan Turki di sekitar Mediterranean dan Sepanyol di seberang Lautan Atlantik,
Portugis menghala ke timur. Hasilnya, ia mendapat Goa di India, Melaka dan Macau di China. Portugis sedar akan kekurangannya.
Itu sebabnya ia membataskan dirinya ke tempat-tempat itu. Sebelum abad ke-16 berakhir, Portugis sendiri ditakluki Sepanyol.
Persoalannya ialah, bagaimana sebuah kuasa kecil Eropah boleh menakluk Melaka. Apa yang terbukti ialah kurangnya pengalaman
Melayu dalam strategi hidup di sebuah bandar pelabuhan antarabangsa. Ia begitu terbuka.
Selain dari itu, Melayu juga tidak begitu faham tahap teknologi waktu itu dan tidak membuat
sesuatu untuk meningkatkan pengetahuan teknologi ke tahap itu. Lebih dari segalanya, Melayu tidak terasa terancam dari segi
keselamatan. Tidak ada bala tentera darat dan laut yang bersenjata canggih yang pernah dihadapi seperti yang dipamerkan oleh
Portugis. Apa yang selalu mereka hadapi ialah alat-alat perang yang mengguna tangan, seperti lembing dan keris dan bukan senjata
api yang boleh mematikan dari jauh seperti meriam dan senapang laras panjang. Bukan itu saja, teknologi membuat kapal yang
berlayar bertingkat-tingkat untuk menjarah lautan luas dan jauh tidak terdapat di tangan Melayu Melaka. Yang ada hanyalah
kapal-kapal kecil berlayar yang boleh sampai di pesisiran Sumatera, Jawa, Siam dan China Selatan.
Teknologi membuat tembok pun tidak didapati wujud. Rumah-rumah dibuat daripada buluh, nibung,
daun nipah dan rembia. Dalam laporan King Emanuel yang panjang lebar kepada Pope dalam tahun 1513, beliau menyatakan 25,000
buah rumah di Melaka telah dimusnahkan. Penduduk `Moor' atau orang Islam sama ada dibunuh ataupun melarikan diri, sedangkan
Raja Melaka melepaskan diri dengan menunggang gajah. Rampasan-rampasan dari istana dan rumah-rumah menghasilkan 60 tan emas
dan 20 peti barang-barang kemas, selain dari rempah ratus.Portugis membina kota kebal dengan tembok setebal 15 kaki di atas
tapak-tapak masjid yang diranapkan. Emanuel melahirkan kekagumannya kerana seorang panglima lautnya bernama Alfonso de Albuquerque
mampu merampas `Aurea Chersonesus' atau Semenanjung Emas, seperti mana digelar untuk Melaka. Gelaran itu diberikan oleh Ptolemy,
seorang astronomer dan pakar matematik dari Iskandariah, Mesir.
Apa yang tidak disebutkan oleh Raja Portugis dalam laporannya itu ialah segala emas dan intan
berlian yang dirampas itu tenggelam bersama kapal utama Portugis, Mar de Flores, di Selat Melaka.Berapakah nilai emas dan
intan berlian itu? Jawapan kepada soalan ini boleh memberikan asas untuk kita menentukan sama ada Melayu Melaka kaya atau
sebaliknya pada zaman itu. Menurut harga pasaran dunia sekarang, satu auns
emas bernilai 280 dolar. Oleh itu satu tan, nilainya 7.5 juta dolar. Maka 60 tan, nilainya ialah 450 juta dolar, sama juga
RM1,710 juta atau RM1.7 bilion.Bagaimana pula nilai barang-barang kemas sebanyak 20 peti? Katalah RM100 juta. Jadi jumlah
nilai semua sekali ialah RM1.8 bilion.
Penduduk Melaka dianggarkan 125,000 orang menurut kadar lima orang dalam sebuah rumah. Maka
nilai per kapita Melaka ialah RM14,400. Ini bererti nilai rakyat Melaka waktu itu lebih tinggi daripada nilai orang Melayu
hari ini. Kalau ada ilmu dan teknologi, kerajaan Melayu Melaka boleh membina tembok batu lapan kaki tinggi, tiga kaki tebal,
empat kilometer panjang, dua kilometer lebar dengan harga 40 juta ringgit, dan semua penduduk Melaka tinggal di dalamnya.
Masih lagi ada baki 1.76 bilion ringgit.Bayangkan berapa buah kapal layar bertingkat boleh didapati, berapa banyak meriam
dan senapang panjang boleh dibeli, dan berapa ramai pula askar darat dan angkatan laut boleh dikerahkan. Tetapi semuanya itu
tidak berlaku.
Kekayaan Melayu Melaka hanya dibekukan dalam istana dan untuk perhiasan diri dan rumah. Pemerintah
hanya bijak menghukum rakyat sendiri, tetapi terlalu bebal untuk menyiapkan diri dari segi strategi pertahanan. Kebebalan
inilah yang menggalakkan Portugis membuat penaklukan dengan hanya beberapa buah kapal.Dari gambaran Melaka itu, bolehlah dibuat
kesimpulan bahawa kekayaan tidak menjamin keutuhan Melayu. Sebaliknya apa yang menjadi jaminan ialah pemikiran strategik.
Pemikiran begini harus menjadi pulur dalam semua tindakan Melayu demi keharmonian dan kestabilan
negara ini. Bukan saja dalam hal perpaduan, malahan dalam pengagihan peluang dalam semua bidang.Dan kiranya pemikiran strategik
wujud dalam diri pemimpin-pemimpin Melaka 500 tahun dulu, tentunya perjalanan sejarah amat berlainan sekali. Justeru kelaknatan
berulangnya sejarah bukan menjadi satu ancaman.
|